Perisian perosak

Perisian perosak (juga dikenali sebagai perisian berbahaya, perisian hasad atau perisian berniat jahat (Bahasa Inggeris: malware, kata lakur bagi malicious "berniat jahat" dan software "perisian")) merujuk kepada perisian yang direka bagi membolos atau merosakkan sistem komputer tanpa kebenaran secara jelas daripada pemilik. Istilah ini seringkali digunakan oleh golongan profesional komputer sebagai istilah payung kepada bentuk-bentuk kod perisian yang mampu mendatangkan keburukan kepada komputer tanpa pengetahuan penggunanya ataupun paling tidak mengganggu privasi pengguna tersebut. Kebanyakan pengguna komputer biasa masih tidak biasa dengan istilah tersebut, dan kebanyakannya tidak pernah menggunakannya. Sebaliknya, istilah virus komputer sering digunakan termasuk dalam media umum bagi menggambarkan semua jenis perisian perosak, sungguhpun bukan semua perisian berbahaya merupakan virus komputer. Istilah lain yang telah dicipta bagi perisian perosak adalah perisian jahat (badware), kemungkinannya disebabkan usaha perisian anti-perosak StopBadware.org.Perisian dianggap sebagai perisian berbahaya berasaskan anggapan tujuan pencipta dan bukannya berdasarkan ciri-ciri tertentu. Ia termasuk virus komputer, cecacing komputer, kuda Trojan, kebanyakan kit akar (rootkit), perisian intip (spyware), perisian iklan (adware), perisian tebusan (ransomware) serta lain-lain perisian perosak yang tidak dikehendaki. Menurut undang-undang, perisian perosak kadang kala dianggap sebagai pencemaran komputer, sebagai contoh dalam kod perundangan California, West Virginia, dan beberapa negeri di Amerika Syarikat.[1]Perisian berbahaya perlu dibezakan dengan perisian cacat (defective software), iaitu, perisian yang mempunyai tujuan sah tetapi mengandungi pepijat.